Muqadimah
Tanggal 25 Disember merupakan tarikh istimewa bagi penganut agama
kristian di seluruh dunia. Pada hari tersebut, para penganut agama ini akan
meraikan perayaan Krismas sempena memperingati kelahiran Nabi Isa mengikut
kepercayaan mereka. Menurut pegangan agama kristian, Nabi Isa merupakan anak
kepada Allah S.W.T yang mengorbankan dirinya bagi menebus dosa warisan yang
diturunkan dari satu generasi kepada generasi yang lain akibat perbuatan Nabi
Adam a.s. yang dikeluarkan dari syurga. Namun berbeza pula kita sebagai seorang
muslim yang dikurniakan dua perayaan besar iaitu ‘Idulfitri dan ‘Iduladha tanpa
mengingkari Nabi Isa adalah sebagai utusan, bukannya anak Allah S.W.T.
Hukum Sambutan Hari Krismas untuk orang Islam
Jelas, perayaan ini disambut
bersempena dua perkara ;
Pertama : Jesus sebagai anak Allah
Kedua : pengorbanan
Jesus yang disalib demi menebus dosa manusia.
Persoalan : Adakah perayaan ini
boleh disambut oleh orang Islam dan bagaimana jika kita hanya mengucapkan
tahniah/memberikan ucapan kepada masyarakat Kristian?
Jawapan : Hukum sambutan krimas ini boleh dibahagikan kepada
dua :
1) Hukum Menyambut Perayaan Krismas Bersama Orang Kafir :
Ulamak bersepakat dalam PENGHARAMAN
meraikannya atau turut serta dalam apa-apa sahaja bentuk sambutan yang
berkaitan dengan perayaan orang kafir termasuk perayaan Krismas. Seperti yang
telah diterangkan di atas, umat islam hanya mempunyai dua perayaan yang besar iaitu
‘Idulfitri dan ‘Iduladha.
Imam ibnu Qayyim menerangkan didalam kitabnya
“Ahkam Ahli Zimmah” tentang hukum sambutan perayaan orang kafir : (TIDAK HARUS
bagi orang mukmin itu menghadiri perayaan orang kafir dengan persetujuan semua
para ulama. Perkara ini telah dijelaskan oleh para fuqaha’ mazhab empat dalam
kitab mereka, berdasarkan hadis riwayat Imam Baihaqi daripada Umar bin
Al-Khattab berkata “Janganlah kamu masuk bersama orang kafir ke dalam gereja
mereka pada hari perayaan mereka, maka sesungguhnya kemurkaan diturunkan kepada
mereka”).
Imam an-Nawawi juga menjelaskan dalam
kitabnya Al-Majmu’ akan tegahan daripada bersama-sama dengan orang kafir di
dalam majlis mereka kerana perbuatan tersebut memuliakan mereka dan dikira
menyamakan kemuliaan orang mukmin dengan orang kafir, maka perkara tersebut
adalah tidak harus.
Antara pendapat ulama dalam mengharamkan
sambutan perayaan orang kafir adalah berdasarkan beberapa dalil antaranya :
>Sambutan tersebut menyerupai
orang kafir
Pengharaman ini berdasarkan hadith baginda S.A.W. yang berbunyi :
Maksudnya : Telah menceritakan
kepada kami Utsman bin Abu Syaibah berkata, telah menceritakan kepada kami Abu
An Nadhr berkata, telah menceritakan kepada kami 'Abdurrahman bin Tsabit
berkata, telah menceritakan kepada kami Hassan bin Athiyah dari Abu Munib Al
Jurasyi dari Ibnu Umar ia berkata, "Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam bersabda: "Barangsiapa bertasyabuh dengan suatu kaum, maka ia
bagian dari mereka." “Barangsiapa yang menyerupai (meniru) suatu kaum
(yang bukan Islam), maka dia tergolong dalam golongan mereka” (Hadith ke-3512
riwayat Imam Abu Daud)
>Penyertaan atau menyambut
perayaan tersebut merupakan satu daripada tanda kita menyukai dan cinta kepada
mereka
Allah S.W.T. berfirman :
Maksudnya : Wahai orang-orang
Yang beriman! janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu
sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada
setengahnya Yang lain; dan sesiapa di antara kamu Yang menjadikan mereka teman
rapatnya, maka Sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu.
Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum Yang berlaku zalim.
(Surah Al-Maidah ayat 51)
>Perayaan merupakan hal keagamaan dan aqidah kaum tertentu
seperti dalam hadith Nabi S.A.W. :
Maksudnya : Telah menceritakan
kepada kami 'Ubaid bin Isma'il berkata, telah menceritakan kepada kami Abu
Usamah dari Hisyam dari Bapaknya dari 'Aisyah berkata, "Abu Bakar masuk
menemui aku saat itu di sisiku ada dua orang budak tetangga Kaum Anshar yang
sedang bersenandung, yang mengingatkan kepada peristiwa pembantaian kaum Anshar
pada perang Bu'ats." 'Aisyah menlanjutkan kisahnya, "Kedua sahaya
tersebut tidaklah begitu pandai dalam bersenandung. Maka Abu Bakar pun berkata,
"Seruling-seruling setan (kalian perdengarkan) di kediaman Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam!" Peristiwa itu terjadi pada Hari Raya 'Ied.
Maka bersabdalah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: "Wahai Abu
Bakar, sesungguhnya setiap kaum memiliki hari raya, dan sekarang ini adalah
hari raya kita." (Hadith ke-899 riwayat Imam Bukhari)
Perayaan krismas menunjukkan akan aqidah
mereka yang salah serta mensyirikkan
Allah, maka tidak harus kita menyertainya.
2) Hukum Mengucapkan
Tahniah/Memberikan Ucapan Perayaan Kepada Mereka :
Berhubung permasalahan mengucapkan tahniah
kepada orang kafir pada perayaan mereka, terdapat perselisihan pendapat ulama.
Ada yang membenarkan dan ada pula yang mengharamkan tindakan ini.
Imam Ibnu Qayyim mengharamkan ucapan
tahniah ini dengan katanya dalam kitabnya “Ahkam Ahli Zimmah” pada Bab Ucapan
Tahniah Kepada Ahli Zimmi : (dan adapun ucapan tahniah terhadap syiar yang telah dikhusukan kepada orang
kafir adalah haram secara sepakat, seperti ucapan tahniah terhadap perayaan dan
puasa mereka, dengan ucapan : Eid Mubarak ‘Alaika / tahniah atas perayaan ini,
atau sebagainya).
Tetapi menurut Dr Yusuf Qardawi dalam
fatwanya, beliau mengharuskan tindakan ini selagi mana kita tidak menyambut
perayaan mereka dan sekadar ucapan tahniah kepada mereka sebagai tanda hubungan
kemasyarakatan. Pendapat ini bersandarkan kepada firman Allah S.W.T. yang
bermaksud :
Maksudnya : dan apabila kamu
diberikan penghormatan Dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam),
maka balaslah penghormatan itu Dengan Yang lebih baik daripadanya, atau
balaslah Dia (dengan cara Yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung
tiap-tiap sesuatu. (Surah An-Nisaa’ ayat 86)
Maksudnya : Allah tidak melarang
kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang Yang tidak
memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman
kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil. (Surah
Al-Mumtahanah ayat 8)
Namun, perlu diingat bahawa ucapan yang
ditujukan kepada mereka adalah suatu ucapan yang bukan digambarkan dengan
keredhaan kita terhadap agama mereka tetapi semata-mata ingin menjaga hubungan
dan berbuat baik kepada mereka. Sikap ini dari satu sudut menunjukkan Islam
merupakan agama yang mengamalkan sikap toleransi dengan penganut agama yang
lain dengan menjaga batasan syara’ yang telah ditetapkan.
Kesimpulan : Agama Islam
merupakan agama yang menitikberatkan toleransi antara pengikutnya dan penganut
agama lain. Namun, dalam masalah yang berkaitan dengan soal akidah, perkara ini
adalah lebih utama. Berdasarkan kepada perbahasan yang telah diletakkan, kita
dapat melihat penyelesaian kepada permasalahan adalah seperti berikut :
1. Haram menyambut perayaan orang
kafir disebabkan kesalahan aqidah yang dianuti oleh mereka. Secara umumnya,
perkara ini disamakan seolah-olah kita turut sama menyokong pendirian dan
pegangan mereka.
2. Dibolehkan memberikan ucapan
atau tahniah pada hari kebesaran mereka dengan syarat bukan disebabkan kita
berasa redha dengan perayaan ini tetapi
ingin menjaga hubungan kemasyarakatan dalam sebuah komuniti.
Apa yang paling penting ialah pendekatan
yang digunakan oleh umat Islam dalam mendepani masyarakat berbeza bangsa dan
agama dalam sesebuah kawasan. Cara ini perlu diberikan perhatian supaya Islam
itu dapat diperlihatkan wajahnya yang indah dan kefahaman tentang suatu peristiwa
itu dapat diperbetulkan.
Rujukan :
1. Al-Quran Al-Karim.
2. Sahih Al-Bukhari, karangan Muhammad Ibn Ismail Ibn Ibrahim Ibn
al-Mughirah Ibn Bardizbah al-Bukhari.
3. Sahih Muslim, karangan Abul Husayn Muslim ibn al-Hajjaj Qushayri
al-Nisaburi.
4. Sunan Abi Daud, karangan Abu Da'ud Sulayman ibn Ash`ath al-Azadi
al-Sijistani.
6. Al-Majmu’, karangan Imam An-Nawawi.
7. Ahkam Ahli Zimmah, karangan Imam Ibnu Qayyim.
8. Al-Bidayah Wa An-Nihayah, karangan Imam Ibnu Kathir.
9. Tasamuh Fi Hadarah Islamiyah, karangan Dr Ikrimah Sobri.