Pages

SELAMAT DATANG KE SEBAIK-BAIK CAHAYA

December 10, 2009

PAHLAWAN NERAKA

Telah dicatatkan di dalam kitab sirah tentang seorang lelaki pada zaman Rasulullah s.a.w yang bernama Qotzman, dia adalah seorang yang memiliki kegagahan dan keberanian. Tetapi apa bila disebutkan namanya kepada Rasulullah s.a.w, Baginda akan bersabda ” Sebenarnya dia itu adalah golongan penduduk neraka. “. Mengapa begitu?.

Suatu hari satu pertempuran telah berlaku di antara muslimin dan musyrikin Quraish di dalam peperangan Uhud . Kedua-dua belah pihak berjuang dengan hebat untuk mengalahkan antara satu sama lain. Qotzman juga merupakan salah seorang yang telah berjuang menentang musyrikin Quraish. Dia telah berperang dengan amat hebat. Dia merupakan orang pertama yang melepaskan panahan ke arah musuh.Semasa bertempur dengan musuh, dia kelihatan seperti seekor singa yang lapar membaham mangsanya. Dengan keberaniannya itu, dia telah menjadi buah mulut ketika itu.

Ibnu Kathir menyatakan bahawa Qotzman telah cedera dengan kecederaan yang amat parah akibat ditikam sehingga muslimin menyatakan kepadanya : “bergembiralah wahai Qotzman “. Tetapi dia menjawab : ” mengapa pula? Demi Allah aku berperang bukan kerana agama tetapi hanya sekadar menjaga kehormatan kota Madinah supaya tidak dihancurkan oleh kaum Quraisy. Aku berperang hanyalah untuk membela kehormatan kaumku. Kalau tidak kerana itu, aku tidak akan berperang. “

Ketika berperang Qotzman telah mengalami luka parah akibat ditikam oleh pihak musuh. Badannya dipenuhi dengan darah. Dengan segera Qotzman meletakkan pedangnya ke atas tanah, manakala mata pedang itu pula dihadapkan ke dadanya. Lalu dia terus membenamkan mata pedang itu ke dalam dadanya.

Dia melakukan perbuatan itu adalah kerana dia tidak tahan menanggung kesakitan akibat dari luka yang dialaminya. Akhirnya dia mati bukan kerana berlawan dengan musuhnya, tetapi membunuh dirinya sendiri. Melihatkan keadaannya yang parah, ramai orang menyangka yang dia akan masuk syurga. Tetapi dia telah menunjukkan dirinya sebagai penduduk neraka.

Peristiwa tersebut telah memberi pengajaran kepada kita dan mengingatkan kita kembali bahawa sesungguhnya setiap perbuatan yang mulia seperti perang dan jihad, sedekah dan pemberian, dakwah dan pendakwahan tidak akan memberikan apa-apa faedah pun kepada kita sekiranya perbuatan tersebut tidak disandarkan kepada jalan Allah s.w.t. Nauzubillahi min zalik.

Seorang sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w : ” Wahai Rasulullah s.a.w sekiranya seorang lelaki berperang kerana ghanimah (harta rampasan perang), seorang lagi berperang kerana inginkan kemasyhuran, dan seorang lagi berperang kerana menunjukkan keberaniannya, siapakah dikalangan mereka yang berada di jalan Allah?. “. Maka Baginda menjawab : ” Sesiapa yang berperang untuk menegakkan kalimah Allah maka dialah yang berada di jalan Allah “.

Maka ini adalah peringatan kepada para pendakwah, berwaspadalah daripada menjadikan segala usaha, pengorbanan dan setiap apa yang mereka kerjakan dan keluarkan kerana dunia, sekiranya begitu kemungkinan pengakhiran mereka sepertimana Qotzman yang berperang bukan kerana Allah. Nauzubillahi min zalik.

Marilah kita sama-sama sentiasa bermuhasabah dan menjaga niat kita supaya kita tidak tergolong dikalangan ahli neraka.

0 comments:

Taujihad