Pages

SELAMAT DATANG KE SEBAIK-BAIK CAHAYA

February 16, 2010

Hidayah Itu Milik Allah

Seperti biasa hari khamis aku akan mengikuti kelas kemahiran Al Quran (KKQ). Pertama kali ianya diadakan. Pembelajaran secara talaqi, memahami qiraat, belajar taranum dan tajwid semuanya dirangkumkan dalam kelas kemahiran Al Quran ini. Malah diberikan elaun sebanyak RM150 sebulan pada siapa yang mengikutinya menyebabkan aku juga teruja mengikutinya. Oleh sebab itu, kemasukan kelas ini perlu menghadiri interview. Aku juga tidak terkecuali. Alhamdulillah aku terpilih mengkuti kelas tersebut. Kemasukan aku juga tidak sukar kerana ustaz yang tasmi' bacaanku adalah ustaz bahasa arab aku,ust azmi. Kebetulan juga aku juga merupakan exco kerohanian asrama pada waktu itu. Maka segalanya adalah nikmat dari Allah dan pastinya ia adalah percaturan dari Allah. Aku manfaatkan dengan sebaiknya.

Petang itu,pukul 5ptg kami berkumpul di surau Al Fallah SMK Jln Kolam Air. Aku ingat lagi nama ini aku dan kawan-kawan kerohanian yang berikan. Sehingga hari ini jika aku melintasi sekolah itu pasti aku dapat melihat tulisan khat yang aku ukirkan di dinding luar surau. Ketika itu juga kenangan lalu kuimbas kembali. Kenangan bersama sahabat pasti tidak dapat kulupakan. Surau itulah yang menjadi saksi kepada pentarbiyahan aku dan kawan-kawan. Surau itu juga menjadi saksi kepada mereka-mereka yang bangun di sepertiga malam bertaqarub kepada Allah tuhan yang satu. Kemana kalian pada waktu ini?barangkali kalian semua sudah menjadi orang yang hebat-hebat belaka.

Kehadiran ustaz Azmi mematikan perbualan kami. Kami duduk dalam halaqah. Saling berpandangan. Tersisip rapi Al Quran di tangan masing-masing. Seakan-akan berada di sekolah tahfiz. Tapi jauh sekali untuk digelar hafiz. Hidup sebagai remaja pastinya penuh dengan liku-liku dan cabaran. Apatah lagi sekolah yang bercampur antara lelaki dan perempuan dari pelbagai bangsa dan agama kerana SMK Jalan Kolam Air merupakan sekolah harian. Cuma bezanya aku dalam Rancangan Khas Aliran Agama (RKAA). Ada dua kelas sahaja pada ketika itu dan semuanya pelajar lelaki sahaja. Ustaz Azmi tegas orangnya tapi sangat peramah. Memahami kehendak anak muridnya. Dialah yang bertanggungjawab dalam membetulkan lidah-lidah jawa kepada lidah arab.

Tetapi kehadiran ustaz azmi kali ini tidak berseorangan. Bersamanya seorang pelajar lelaki berbangsa Tiong Hua. Chan namanya. Aku masih ingat namanya kerana aku 'menjaga' dia ketika itu. Hakikatnya Allah saja yang berhak menjaga hamba-hambaNya. Chan hadir untuk mendalami ilmu agama. Begitulah yang dimaklumkan pada kami semua. Dia duduk bersama kami. Mengaji bersama. Dia tidak malu untuk belajar sedangkan dia buta membacanya. Ketika belajar,aku mengerlingkan mata ke wajahnya. Berkerut. Berpeluh. Apa yang engkau sedang alami Chan? Tanya hatiku. Moga Allah berikan taufeq dan hidayah padamu.

Selesai kelas pengajian, ustaz azmi berjumpa denganku. Menyatakan hasrat untuk aku menolongnya menjaga Chan mendalami agama.

"Ustaz minta tolong dengan kamu untuk jaga Chan ni"
"Jaga macamane ustaz?"soalku.
"Ajar dia sikit-sikit ilmu agama. Ajar dia mengaji dan solat."permintaan dari ustaz azmi.
"Ustaz percayakan saya ke nak ajar chan?saya sendiri sedang belajar ustaz."kerut dahiku menjawab permintaan ustaz azmi.
"Ustaz percayakan kamu. Ustaz juga akan ajar dia tentang Islam. Dia ada peluang nak masuk Islam. Cumanya ustaz minta kamu sentiasa bersama dia. Kalau boleh makan pun bersama."
"insyaallah ustaz.."tanda setuju dariku.

Begitu tinggi permintaan ustaz azmi padaku. Semenjak dari itu aku mula berkawan dengan Chan. Aku juga bagitahu pada kawan-kawanku supaya tidak menjadi suatu yang pelik bagi mereka. Malah mereka juga bersama-sama dengan aku untuk membantu Chan mengenali Islam. Ketika inilah kami mula berbicara tentang agama. Pada mulanya aku bimbang kalau-kalau Chan bertanya tentang perbandingan agama. Aku tidak tahu semua itu. Alhamdulillah Chan tidak banyak bertanya dia hanya mengikut sahaja.

Pembelajaran Chan mengenai Islam dirahsiakan dari keluarganya. Begitu juga dengan kawan-kawanya seagama. Chan juga punya adik perempuan. Ketika itu, aku ditingkatan tiga. Chan ditingkatan dua,dan adiknya ditingkatan satu. Aku tidak ingat nama adik perempuannya.

Aku tertanta-tanya macamane Chan boleh terniat untuk belajar tentang Islam. Pasti ada sesuatu berlaku padanya. Lantas aku beranikan niatku untuk bertanya..

"Macamana chan minat nak belajar mengaji?"
"saya suka dengar itu suara..itu biasa pukul 1 lebih ada"katanya
"azan ke?"soalku mengharapkan chan tahu.
"itu suara panggil azan ke?"
"ya azan..azan ni nak panggil orang Islam untuk solat"jawapan budak-budak.

Seharian aku bersama Chan. Berbual bersama. Berbincang bersama. Aku juga dapat belajar sesuatu darinya. Fitrah kehidupan manusia adalah mengtauhidkan Allah. tapi dek kerana nafsu dan hasutan syaitan menyebabkan manusia mensyirikkan Allah. Maka bermulalah kesesatan yang berleluasa ditambah dengan kefasadan yang tiada batasnya. Ada yang paginya beriman pada Allah tapi malamnya pula dia kufur kepada Allah. Begitulah sebaliknya. Hari ini Allah masukkan hidayah ke dalam hati Chan. Tetapi tidak mustahil untuk Allah menariknya kembali. Begitu juga aku. Lahir dalam keadaan Islam. Islam keturunan. Moga matiku juga dalam keadaan Islam.

Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah aku juga semakin hampir. Aku juga perlu fokus dalam pembelajaran. Sedikit demi sedikit aku jarang bertemu dengan Chan. Aku maklumkan kepada ustaz Azmi supaya dia faham keadaan aku. Ustaz Azmi mengiyakan sebagaimana yang aku khabarkan beliau seorang ustaz yang memahami anak muridnya. Ustaz Azmi memberitahuku, semasa beliau mengajar Chan dalam pendidikan moral, Chan bertanya siapa yang melaungkan 'suara' itu. Ketika itu yang terlintas di fikiran beliau hanyalah aku. Maka Chan ingin berjumpa dengan aku gara-gara tekaan ustaz Azmi. Barangkali juga kerana aku juga kerap melaungkan azan memandangkan tanggungjawab aku sebagai exco kerohanian pada ketika itu..Mungkin tekaan itu tepat,mungkin juga salah kerana masing-masing tidak tahu bila Chan mendengar 'suara' itu.

Sesekali ada juga aku terserempak dengan Chan semasa di sekolah. Masa itu dia bersama dengan kawan-kawannya yang lain. Aku hanya memerhatikan. Mungkin dia tidak perasan. Kadang kala timbul rasa bersalah dalam hatiku,adakah aku melepaskan tanggungjawab aku untuk mengajak manusia kepada Islam. Aku tidak pasti keputusan yang aku lakukan. Tapi aku sering juga perkembangan Chan daripada Ustaz Azmi. Kalau-kalau ada berita gembira yang aku perlu tahu. Kali ini aku agak terkejut dengan berita yang ustaz sampaikan. Ibu bapa Chan sudah tahu yang Chan sedang belajar tentang Islam. Malah ditambah pula dengan 'mata-mata' yang dilantik. Aku sendiri tidak tahu siapa mereka.

Ustaz Azmi menyatakan yang Chan perlu di Islamkan dengan cepat. Beliau sedang meminta kerjasama Jabatan agama untuk mengislamkan Chan. Tapi masalah yang timbul adalah ancaman dari keluarga Chan. Chan takut untuk meneruskan niat murninya itu yang pastinya mulia disisi Allah.Ustaz Azmi memberitahuku supaya tidak perlu risau dengan keadaan yang berlaku dan beliau meminta aku untuk fokus dalam PMR. Lagi sebulan untuk aku menghadapinya. Masa itu aku hanya mampu berdoa supaya semuanya berjalan dengan selamat dan pastinya Islam untuk Chan.

Setahu aku memang tiada enakmen dalam undang-undang Malaysia yang memberi perlindungan kepada saudara baru. Menyebabkan mereka yang baru memeluk Islam tiada pembelaan terhadap mereka. Ketika itu mereka dihina,dicerca, dan dihalau dari rumah tiada siapa yang membela mereka. Akhirnya niat untuk memasuki Islam terkubur begitu saja. Maka tidak sekali untuk aku melihat perkara itu terjadi kepada Chan. Moga Chan dalam penjagaan Allah.

Seminggu lagi PMR akan bermula. Aku tinggalkan sebentar Chan bersama Ustaz Azmi. Surau Al Fallah sekali lagi menjadi saksi perkumpulan mujtahid-mujtahid yang mengharapkan redha Allah dalam menuntut ilmuNya. Disitulah aku dan kawan-kawan mengulangkaji pelajaran bersama. Qiamullail bersama. Iftar bersama. Pastinya mengharapkan mahabbah yang terjalin. Ketika ini jiwa menggeletar,ketakutan untuk menghadapi peperiksaan yang bersifat duniawi semata-mata. Tetapi perlu diketahui bahawa kerana duniawilah yang akan membawa kita ke syurga Allah. Dunia menjadi wasilah menuju ukhrawi. Jika dunia yang kita kejar maka akhirat kita tinggalkan. Jika akhirat kita kejar,dunia akan ikut bersama. Tetapi jika kedua-duanya kita kejar,kita akan beroleh kedua-duanya. Maka aku pastikan kejayaan miliku supaya ianya tidak menjadi fitnah kelak. Usaha, doa dan tawakal perlu seiring.

Hari yang dinantikan sudah tiba. Aku menuju ke dewan peperiksaan. Ustaz Azmi memandangku seakan ingin menyatakan sesuatu. Aku berkumpul dahulu bersama kawanku berbaris. Menghadap kiblat. Kulaungkan Azan dan membuat doa wehdah. Meremang bulu roma mendengar terikan wehdah teman seperjuangan. Semasa ingin memasuki dewan peperiksaan aku bersalaman dengan ustaz Azmi. Beliau sempat membisikkan sesuatu kepadaku.

"Chan dah pindah sekolah.Sekolah Tinggi Cina...Hidayah milik Allah, Nuar."

Aku hanya berdiam dan meneruskan langkahku mencari tempat duduk. Fikiran aku seolah-olah tidak berada di zon peperiksaan. Aku hanya mengiyakan kata-kata Ustaz Azmi.

"Ya ustaz..HIDAYAH milik Allah"
"Tapi kita mesti cari Chan..."kata hati kecilku.

2 comments:

raihana said...

salam ziarah..
hidayah itu milik Allah...kita hanya mampu mencetuskan kemahuan sesiapa jua utk berubah tapi hanya Allah yg mletakkan kelayakan kpd penerima hidayahNYA...mehnah dan tribulasi sepanjang proses pentarbiyahan semata2 utk improve bkn shj kpd mad'u tp kpd daie itu sendiri..tarbiyah bkn segalanya tapi segalanya adalah tarbiyah..
pjalanan dkwah perlu diteruskan dlm pelbagai bentuk dan cara..
salam perjuangan..salam ketauhidan..

raihana said...

salam ziarah...
hidayah itu milik Allah..kita hanya mampu mencetuskan kemahuan sesiapa jua utk berubah tapi sesungguhnya Allah jua yang maha mengetahui kpd siapa jua penerima hidayah itu...mehnah dan tribulasi spjg proses pentarbiyahan adalah semata2 utk 1 proses bkn shj kpd mad'u tp jg kpd daie itu sendiri...tarbiyah bkn segalanya tapi segala2nya adalah tarbiyah...dakwah perlu diteruskan dlm apa jua cara serta method..
salam perjuangan..salam ketauhidan..

Taujihad